Agih Kutipan Zakat Secara Adil Dan Saksama, Titah Sultan Kedah

>> Saturday, June 13, 2009

ALOR SETAR, 31 Mei (Bernama) -- Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah supaya pengagihan zakat dilaksanakan dengan cara yang adil dan saksama bagi memastikan semua golongan yang berhak menerimanya tidak tersisih.

Baginda memberikan contoh semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz apabila tiada seorangpun di kalangan lapan asnaf berhak menerima zakat termasuk fakir miskin.

"Pemerintah berjaya melaksanakannya kerana rezeki yang melimpah ruah dan pentadbiran zakat ditadbir dengan cara yang berkesan oleh kerajaan," titah baginda semasa merasmikan Muktamar Peningkatan Pengurusan Wakaf dan Zakat di sini Ahad.

Muktamar dua hari anjuran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan kerjasama Jabatan Zakat Negeri dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) itu disertai mereka yang terlibat dalam pengurusan zakat dan wakaf dari seluruh negara termasuk Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Mengenai kutipan zakat di Kedah, baginda berpuas hati kerana pungutan berpusat yang diamalkan telah meningkatkan kutipan kepada RM57 juta pada tahun lepas berbanding RM15.7 juta pada tahun 2000.

"Beta bersyukur dengan kesedaran umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat yang membolehkan lebih ramai golongan yang layak menerimanya mendapat hak mereka," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim menyeru ketua-ketua jabatan di negeri ini bekerjasama dengan Jabatan Zakat Kedah dan MAIK untuk menyedarkan kakitangan masing-masing mengenai pembayaran zakat dan pemberian wakaf.

Baginda bertitah, umat Islam wajar menyuburkan lagi amalan wakaf melalui peningkatan pengurusan harta wakaf sebagai satu jariah demi meningkatkan ekonomi rakyat untuk meringankan tanggungjawab kerajaan.

Baginda mahu MAIK merangka satu pendekatan berkesan untuk meningkatkan kesedaran dan keinginan umat Islam untuk mewakafkan wang dan harta mereka.

"Hasil yang diperolehi boleh digunakan untuk memajukan sektor kebajikan, pendidikan, pembangunan prasarana dan pelaksanaan program yang bermanfaat bagi mengurangkan masalah sosial umat Islam," titah baginda.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Powered By Blogger

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP