Kutipan zakat JZNK lepasi sasaran

>> Sunday, December 26, 2010

Kutipan zakat JZNK lepasi sasaran


Syeikh Ghazali Yaacob (kiri) membaca doa selepas penyerahan zakat Bank Muamalat oleh Mohd. Hafiz Fauzi di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 26 Dis. - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) mengutip zakat sebanyak RM73.8 juta dari Januari sehingga Khamis lalu berbanding RM66.9 juta sepanjang tahun lalu.

Sasaran kutipan zakat agensi tersebut untuk tahun ini adalah sebanyak RM73 juta dan jumlah kutipan dijangka terus meningkat sehingga akhir minggu depan dengan jangkaan mencecah RM80 juta.

Setiausaha Jawatankuasa JZNK, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob memberitahu, peningkatan kutipan itu berikutan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan dan kebaikan membayar zakat.

Kata beliau, pihaknya juga giat menjalankan kempen dan penerangan mengenai zakat menerusi Unit Operasi JZNK dari semasa ke semasa.

"Menjelang akhir tahun kutipan dijangka mampu mencecah RM80 juta. Bagi 2011 JZNK menyasarkan kutipan zakat meningkat kepada RM83 juta," katanya selepas majlis penyampaian dan penyerahan zakat oleh Bank Muamalat dan Public Bank di sini, hari ini.

Pada majlis itu Bank Muamalat yang diwakili Ketua Jabatan Syariahnya, Mohd. Hafiz Fauzi menyerahkan zakat sebanyak RM120,000 manakala Public Bank yang diwakili Pengurus Cawangan Alor Setar, Megat Zaidi Megat Mokhtar menyampaikan zakat sejumlah RM25,000.

Syeikh Ghazali memberitahu, daripada jumlah kutipan itu, pihaknya sudah menyalurkan lebih RM60 juta kepada lapan asnaf yang layak termasuk RM10 juta kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau memberitahu, biarpun kutipan zakat meningkat, namun kesedaran pembayaran zakat bagi sektor penanaman khususnya padi tidak banyak berubah iaitu sekitar RM3.7 juta berbanding kutipan yang sepatutnya mampu diperoleh iaitu RM20 juta.

Menurutnya, pesawah di negeri ini memberi alasan peningkatan kos pengurusan padi menjadi kekangan kepada mereka untuk membayar zakat.

''Mereka (pesawah) tidak mahu bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Dengan membayar zakat, rezeki mereka berkat dan bertambah tetapi mereka tidak mahu sedar tentang itu. Golongan lain yang dikenal pasti liat membayar zakat ialah peniaga," katanya.

Kata beliau, pihaknya bagaimanapun tidak berputus asa untuk menyedarkan orang ramai mengenai perkara tersebut menerusi pelbagai kempen dan program penerangan yang diadakan dari semasa ke semasa.

Pembayaran tertinggi zakat kepada JZNK ialah menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu RM3.6 juta diikuti Lembaga Tabung Haji sebanyak RM2.8 juta.

Sumber: Utusan Malaysia online, 27 Disember 2010

Read more...
Powered By Blogger

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP