Zakat Kedah Kekal RM 7

>> Tuesday, July 26, 2011

26/07/2011 4:08pm
Sumber : Utusan Malaysia Online 26 Julai 2011


ALOR SETAR 26 Julai - Kadar zakat fitrah bagi Kedah pada tahun ini kekal RM7 sama seperti tahun lepas, kata Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Datuk Syeikh Ghazali Yaacob.


Beliau berkata, seperti tahun lepas, jabatan zakat turut mengekalkan kaedah pembayaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk pengguna Celcom dan juga Maxis.


Beliau berkata, pembayaran juga boleh dibuat melalui perbankan Internet terpilih dan juga melalui amil-amil yang dilantik.


"Orang ramai juga boleh melayari laman web jabatan zakat www.zakatkedah.com atau terus menghubungi pejabat zakat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.


Beliau berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan zakat fitrah pada tahun ini meningkat kepada RM8 juta berbanding RM5.5 juta pada tahun lepas.


Dalam perkembangan lain, Syeikh Ghazali berkata jumlah kutipan zakat sehingga hari ini ialah RM53.7 juta berbanding RM37.5 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.


"Kita menyasarkan jumlah kutipan zakat pada tahun ini mencecah RM83 juta memandangkan terdapat peningkatan dalam perolehan tujuh bulan pertama. Kutipan zakat pada tahun lepas ialah RM80.5 juta,” katanya. - Bernama

Read more...

Syarat serap guru sandaran

PUTRAJAYA - Kesemua 13,184 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) kini dinilai semula bagi tujuan untuk diserapkan ke jawatan tetap dengan syarat mereka memenuhi dua syarat utama yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.


Dua syarat tersebut ialah mereka telah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.


Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kepada yang layak, surat tawaran diserap sebagai guru akan dikeluarkan tidak lama lagi.



Beliau bagaimanapun tidak memberikan tarikh calon-calon GSTT yang layak itu akan diserap untuk jawatan tetap.

"Pengambilan tenaga pengajar GSTT sebagai guru itu sejajar dengan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam bulan lepas," katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Reka Cipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9 (2) di sini semalam.


"Kesemuanya bergantung kepada Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing yang telah diarah mengenal pasti kesemua GSTT yang terlibat untuk dipanggil semula," ujarnya.


Katanya, calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru.



Terdahulu, beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan akhir Reka Cipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan 2010.

Beliau menambah, sejajar dengan pengambilan GSTT itu, tiada pengambilan baru untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) akan dibuat tahun ini.


Pemenang tempat pertama bagi kategori bot lumba sekolah menengah dan sekolah rendah masing-masing dimenangi oleh SMK Seri Manjong, Perak dan Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, Penang.


sumber: Kosmo! Online 27/07/2011

Read more...
Powered By Blogger

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP