Gemerlap Kristal Gamit Pelancong Ke Gunung Keriang

>> Monday, July 6, 2009

Oleh Khoshiatun Fadzilah Ishak

ALOR SETAR, 15 Jun (Bernama) -- "Cantik, bersinar dan bergemerlapan".

Keistimewaan serta keunikan itulah yang mendorong orang ramai untuk menjadikan batu kristal sebagai perhiasan sama ada di rumah atau pejabat termasuk menjadi aksesori wanita yang pentingkan penampilan penuh gaya.


Menyedari nilai komersil batu kristal serta potensi pasaran di dalam dan luar negara, Gunung Keriang yang terletak kira-kira 8 km dari sini, kini menjadi tumpuan dan sumber rezeki sesetengah penduduk di sekitarnya kerana di dalamnya terdapat "harta karun" yang cukup berharga itu.

Presiden Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kedah (MTPNK), Datuk Othman Aziz berkata batu kristal yang terdapat di Gunung Keriang mempunyai keunikan yang tersendiri dan mampu menjadi produk pelancongan yang menjanjikan pengalaman berbeza kepada setiap pelancong.

"Gunung Keriang akan dibangunkan sebagai Gua Kristal, ini kerana kedudukannya yang terletak dekat dengan Muzium Padi dan Kampung Tradisional yang memang sedia menjadi tumpuan pelancong.

"Ia akan diperindah dengan lampu hiasan serta pemasangan sebuah lif untuk membawa pengunjung masuk ke dalam gunung dan melihat sendiri batu kristal asli yang terdapat di dalamnya," katanya kepada Bernama.

"Saya harap pembangunan Gua Kristal di Gunung Keriang juga dapat membantu menaikkan taraf ekonomi penduduk di sekitarnya, di samping mengusahakan tanaman sawah padi," katanya.

JENIS BATU KRISTAL

Batu kristal mempunyai pelbagai warna seperti putih, perang, merah, kuning, hitam dan biru cair. Kristal yang berwarna dikatakan lebih mahal berbanding batu kristal putih kerana kesukaran untuk mendapatkannya selain turut jarang ditemui.

Seorang pencari dan penjual batu kristal secara borong kepada peniaga dari dalam dan luar negeri, yang dikenali sebagai Pak Mud, 75, berkata batu kristal juga boleh dikenal pasti jenisnya melalui tiga kategori iaitu, duri atau dikenali juga sebagai cubung kristal, bunga kristal dan bunga pokok kristal.

Duri atau cubung kristal dikatakan berbentuk seakan-akan duri yang bersegi-segi dan sedikit tajam di hujungnya, manakala bunga kristal pula berbentuk seperti bunga-bunga rumput yang halus yang tumbuh di atas hamparan permaidani.

Bunga pokok kristal pula mempunyai bentuk seperti pokok yang tumbuh di atas bukit atau gunung dan berbentuk seakan-akan bunga kubis. Terdapat juga batu kristal jenis batu tukul, batu kristal air dan batu kristal batang. Batu tukul berwarna putih dan biasanya saiz batu tukul agak besar dan mudah ditemui.

Batu kristal air pula berwarna keperang-perangan dan sekali pandang kilauannya kelihatan seperti air yang mengalir di dinding gua.

Batu kristal batang juga dikenali sebagai batu 'laksek' dan berbentuk seperti sebatang kayu yang terpacak. Ia mempunyai tiga lapisan warna iaitu perang cair di bahagian bawah, perang muda di bahagian tengah dan perang pekat di bahagian atas sekali.

BATU KRISTAL HIDUP

Batu kristal yang terdapat di Gunung Keriang dipercayai yang terbaik dan dikatakan `hidup', malah jika dijaga dengan baik dan diletakkan di tempat yang sesuai, ia akan tumbuh dan berkilau terutama apabila terkena cahaya lampu.

"Batu kristal yang hidup mengambil masa agak lama untuk tumbuh. Kadang-kadang memakan masa sampai bertahun. Yang penting pembeli perlu menyembur air bersih, seelok-eloknya dua kali seminggu untuk memastikan batu kristal yang sedia tumbuh, bercambah serta lebih berkilauan," kata penjual batu kristal, Tijah Yaacob, 60.

Katanya, air hujan atau air mineral adalah air yang paling sesuai untuk disemburkan pada batu kristal untuk memastikannya sentiasa segar kerana tidak mempunyai klorin seperti air paip.

Sementara itu, seorang lagi peniaga batu kristal Umi Kalsom, 45, berkata pembeli juga dinasihatkan agar menyimpan batu kristal di tempat yang sejuk dan elakkannya daripada terkena habuk bagi mengekalkan kilauannya.

Pelancong boleh mendapatkan Batu kristal Gunung Keriang dengan harga serendah RM4 hingga RM12,000 bergantung kepada saiz.

KEISTIMEWAAN BATU KRISTAL

Seorang peniaga batu kristal yang menjalankan perniagaan di kaki Gunung Keriang, Mohamed Bistie, 30, berkata batu berkenaan menjadi rebutan orang ramai bukan sahaja kerana ia boleh dijadikan perhiasan dalam rumah tetapi juga dipercayai dapat memberikan aura dan tenaga positif kepada seisi rumah yang menyimpannya.

"Ramai yang datang membelinya di sini untuk tujuan kesihatan. Ada yang berkata air yang direndam batu kristal apabila dimandi pesakit, dipercayai boleh membantu melancarkan pengaliran darah dan membuang angin dalam badan," katanya.

Katanya batu kristal turut menjadi rebutan pelancong dari Singapura, Indonesia, Taiwan dan Thailand. Malah ada yang sanggup datang dari jauh ke Gunung Keriang semata-mata untuk mendapatkan batu yang dikatakan boleh membawa tuah itu.

Seorang lagi peniaga dan pemborong batu kristal, Tan Soo Chaw, 47, berkata masyarakat Cina menganggap batu kristal mempunyai `feng shui' yang baik.

"Tetapi, batu itu perlu dijaga dengan sempurna dan diletakkan di kedudukan yang baik serta selalu dibersihkan agar kilauannya terpelihara," katanya.

Selain itu, batu kristal juga dikatakan baik untuk sistem pencernaan, melancarkan saliran darah, membantu menguatkan daya ingatan serta dipercayai dapat mengubati penyakit migrain.

PENCARI BATU KRISTAL

Mencari batu kristal tidaklah semudah yang disangka. Sebelum masuk ke dalam gua di gunung, pencari batu kristal perlu menyediakan peralatan asas termasuk guni, penukul dan pahat.

Mereka juga perlu mempunyai kemahiran serta keberanian memanjat gunung dan ada ketikanya mereka terpaksa memanjat tangga yang disangkut pada dinding gunung yang curam untuk mendapatkan batu yang cantik dan berkilau.

"Selain kebolehan memanjat gunung, yang paling penting, kita mesti ada sekurang-kurangnya dua lampu suluh, ini kerana keadaan di dalamnya terlalu gelap. Apa-apa pun boleh jadi bila kita tak nampak apa yang ada di sekeliling kita," kata Zaidi Ahmad, 28, yang mempunyai pengalaman lebih sepuluh tahun.

Kesabaran dan semangat yang kental juga merupakan antara aspek penting ketika mencari batu kristal kerana pencari batu kristal terpaksa merangkak untuk masuk ke dalam terowong yang sempit, dan terpaksa menyusup di celah-celah dinding gua berbatu yang tajam.

"Jika bernasib baik, kami boleh menemui batu kristal dengan mudah hanya dengan berpandukan kilauan pada dinding gua tanpa mengeluarkan banyak tenaga. Tetapi, biasanya kami terpaksa bekerja keras dengan memahat sedalam lebih 30 sentimeter untuk mendapatkan harta karun berkenaan", katanya.

Namun begitu, kerana pulangan yang lumayan dan sentiasa ada pemborong yang bersedia untuk membeli hasil yang dibawa turun, pencari kristal tidak mengendahkan segala kepayahan dan sanggup melakukan kerja berkenaan.

-- BERNAMA

Read more...

Batu kristal Gunung Keriang

>> Saturday, July 4, 2009

Tidak perlu terlalu mengagungkan kristal dari luar negara kerana batu itu juga banyak terdapat di Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah. GUNUNG KERIANG kini menjadi sumber rezeki sesetengah penduduk di sekitarnya.

BAGI mereka yang meminati barangan perhiasan kristal, Gunung Keriang merupakan tempat paling tepat untuk dikunjungi kerana terdapat lebih daripada 100 jenis batu kristal atau lebih dikenali sebagai 'batu bunga' terdapat di situ.

Lebih unik, terdapat pelbagai bentuk dan jenis batu kristal yang ditawarkan oleh penjual. Ia dipercayai bukan sahaja bertujuan menghiasi ruang tamu rumah, bahkan batu tersebut juga mempunyai rahsia kesihatannya yang tersendiri.

Lebih tepat lagi, batu kristal ini mempunyai unsur tenaga untuk tujuan kesihatan sekali gus memberi kebaikan kepada penggunanya yang menjadikannya sebagai perhiasan di rumah.

Terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar raya Alor Setar, Kedah, pengunjung pasti akan rambang mata kerana terdapat berpuluh-puluh kedai menjual batu kristal pada harga tawaran serendah RM4 hingga RM12,000.

Pengunjung juga mempunyai pilihan sama ada mahu membelinya di gerai biasa atau deretan kedai dan harganya pula bergantung kepada kepandaian pengguna untuk menawarnya dengan pembeli.

Dibuka sejak enam tahun lalu, gerai-gerai di sini memberi rezeki kepada penduduk setempat dengan penjualan batu kristal.

Bagi seorang penjual, Arnida Aziz, 28, batu kristal dari Gunung Keriang dikatakan hidup dan boleh membesar sekiranya dijaga dengan baik dan rapi.

Jika mahu melihat batu kristal itu nampak hidup dan membesar, pembeli haruslah menyembur air ke atas batu tersebut sekurang-kurangnya dua hari sekali bagi menaikkan kilauannya.

"Bukan susah nak jaga, kalau semburannya cukup, maka tidak mustahil ia dapat membesar dengan sempurna dan cantik.

"Kalau nak nampak lebih cantik, letak batu kristal ini di bawah cahaya lampu dan ketika itu, barulah pemilik akan nampak keunikan dan keindahan batu kristal ini," katanya.

A.K LEE menyembur air ke atas batu kristal yang dijual di gerainya yang terletak di Pusat Rekreasi Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.

Arnida menambah, terdapat pelbagai jenis pilihan warna yang ada di kedai batu kristal miliknya seperti putih, perang hitam dan biru manakala harganya pula sudah pasti berbeza.

"Biasanya, yang putih lebih murah berbanding dengan batu kristal berwarna kerana susah untuk dicari," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penjual, A. K. Lee, 56, pula berkata, orang Cina percaya batu kristal mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

"Orang Cina percaya, batu ini ada 'feng shui' yang baik dan bukan semata-mata untuk dijadikan perhiasan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kini bukan sahaja masyarakat Cina sahaja yang tergila-gilakan batu kristal, malah orang Melayu juga sudah menyedari kelebihannya.

"Orang Melayu pun dah pandai cari batu kristal dan mereka percaya, ia ada khasiatnya yang tersendiri," katanya. - Bernama

Read more...
Powered By Blogger

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP