PENGERTIAN ZAKAT

>> Thursday, September 11, 2008

PENGERTIAN ZAKAT
Dari Segi Bahasa:
Zakat dari segi bahasa bererti Bersih, Suci, Subur, Berkat dan Berkembang. Bersih dan Suci dalam konteks pengertian zakat ialah membersihkan harta dan diri umat Islam – yang mana bagi mereka yang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil, manakala bagi mereka yang miskin daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

Dari Segi Syarak:
Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu untuk diberikan kepada golongan (asnaf) tertentu yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.


SYARAT WAJIB ZAKAT

1. Islam
Zakat hanya dikenakan ke atas orang Islam. Bagi perniagaan perkongsian orang Islam dengan bukan Islam hanya peratusan ekuiti orang Islam sahaja diambilkira untuk pengiraan zakat.

2. Merdeka
Hamba abdi tidak wajib berzakat kecuali zakat fitrah. Walaupun, kini tidak timbul persoalan hamba abdi, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib berzakat.

3. Milik Sempurna
Harta yang dimiliki mestilah sempurna dalam kekuasaan seseorang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik juga dapat memperlakukan dan memperolehi manfaat daripadanya.

4. Cukup Nisab
Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan zakat atau tidak. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 20 misqal emas iaitu bersamaan dengan nilai 85 gram emas atau 196 gram perak. (Nilai nisab masakini lebih kurang RM4,000 bergantung kepada harga emas semasa).

5. Cukup Haul
Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah.

6. Niat Untuk Berniaga
Syarat ini hanya bagi zakat perniagaan sahaja.

0 ulasan:

Powered By Blogger

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP