GSTT Diteruskan - Surat Pemberhentian 13,000 Guru Sandaran Ditarik Balik

>> Thursday, March 3, 2011

March 03, 2011

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu mengumumkan berita gembira buat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian pada tahun lepas bahawa notis itu ditarik balik.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan.

"Saya minta Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak dan terdapat pemintaan termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar kontrak mereka ini disambung semula.

Muhyiddin berkata beliau sudah mengeluarkan arahan sejak dua bulan lepas bagi menarik balik surat pemberhentian itu dan mengekalkan khidmat GSTT terlibat.

Menurutnya keputusan mengekalkan GSTT adalah bagi memberi mereka peluang menjadi guru yang terlatih.

"Jika mereka hendak diserapkan kepada guru terlatih dan tidak cukup kelayakan, pendekatan yang sesuai diambil adalah memberi mereka peluang mengikuti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti," katanya.

Menurut beliau, pendekatan ini membolehkan GSTT meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang mata pelajaran pilihan bukan am seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik.

Muhyiddin mengingatkan GSTT supaya bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar bertugas semula di sekolah asal.

"Pengambilan GSTT yang baru jangan diisi dahulu tetapi disemak dahulu dengan Pengarah Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran," katanya.

- BERNAMA 03/03/2011

Read more...

Kutipan zakat JZNK lepasi sasaran

>> Sunday, December 26, 2010

Kutipan zakat JZNK lepasi sasaran


Syeikh Ghazali Yaacob (kiri) membaca doa selepas penyerahan zakat Bank Muamalat oleh Mohd. Hafiz Fauzi di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 26 Dis. - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) mengutip zakat sebanyak RM73.8 juta dari Januari sehingga Khamis lalu berbanding RM66.9 juta sepanjang tahun lalu.

Sasaran kutipan zakat agensi tersebut untuk tahun ini adalah sebanyak RM73 juta dan jumlah kutipan dijangka terus meningkat sehingga akhir minggu depan dengan jangkaan mencecah RM80 juta.

Setiausaha Jawatankuasa JZNK, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob memberitahu, peningkatan kutipan itu berikutan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan dan kebaikan membayar zakat.

Kata beliau, pihaknya juga giat menjalankan kempen dan penerangan mengenai zakat menerusi Unit Operasi JZNK dari semasa ke semasa.

"Menjelang akhir tahun kutipan dijangka mampu mencecah RM80 juta. Bagi 2011 JZNK menyasarkan kutipan zakat meningkat kepada RM83 juta," katanya selepas majlis penyampaian dan penyerahan zakat oleh Bank Muamalat dan Public Bank di sini, hari ini.

Pada majlis itu Bank Muamalat yang diwakili Ketua Jabatan Syariahnya, Mohd. Hafiz Fauzi menyerahkan zakat sebanyak RM120,000 manakala Public Bank yang diwakili Pengurus Cawangan Alor Setar, Megat Zaidi Megat Mokhtar menyampaikan zakat sejumlah RM25,000.

Syeikh Ghazali memberitahu, daripada jumlah kutipan itu, pihaknya sudah menyalurkan lebih RM60 juta kepada lapan asnaf yang layak termasuk RM10 juta kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau memberitahu, biarpun kutipan zakat meningkat, namun kesedaran pembayaran zakat bagi sektor penanaman khususnya padi tidak banyak berubah iaitu sekitar RM3.7 juta berbanding kutipan yang sepatutnya mampu diperoleh iaitu RM20 juta.

Menurutnya, pesawah di negeri ini memberi alasan peningkatan kos pengurusan padi menjadi kekangan kepada mereka untuk membayar zakat.

''Mereka (pesawah) tidak mahu bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Dengan membayar zakat, rezeki mereka berkat dan bertambah tetapi mereka tidak mahu sedar tentang itu. Golongan lain yang dikenal pasti liat membayar zakat ialah peniaga," katanya.

Kata beliau, pihaknya bagaimanapun tidak berputus asa untuk menyedarkan orang ramai mengenai perkara tersebut menerusi pelbagai kempen dan program penerangan yang diadakan dari semasa ke semasa.

Pembayaran tertinggi zakat kepada JZNK ialah menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu RM3.6 juta diikuti Lembaga Tabung Haji sebanyak RM2.8 juta.

Sumber: Utusan Malaysia online, 27 Disember 2010

Read more...

Tip Lelongan Dalam Talian

>> Saturday, October 23, 2010

Terfikir untuk membida di lelongan dalam talian, atau menjual beberapa barangan anda. Lelongan internet adalah sumber terbaik untuk pembeli dan penjual, tetapi anda perlu peka akan isunya. Berikut adalah beberapa tip penting yang harus anda ketahui:

  • Nilaikan berapa cepat anda mahu menerima item yang anda sedang di bida, dan sama ada anda sanggup ia dihantar lambat, atau tidak dihantar langsung. Kebanyakan rungutan mengenai penipuan lelongan internet termasuklah penghantaran lambat, tidak dihantar, atau penghantaran produk yang tidak sama kualitinya seperti yang diiklankan.
  • Sama ada anda pembeli atau penjual, baca Terma Penggunaan setiap tapak lelongan sebelum menggunakannya buat kali pertama. Tapak lelongan mungkin mengenakan caj bayaran, mengikut peraturan yang berlainan atau menawarkan perlindungan yang berlainan.
  • Fikirkan dengan teliti cara pembayaran anda. Ketahui jalan keluar anda jika sesuatu masalah timbul. Jangan hantar wang tunai dan jangan menggunakan perkhidmatan pemindahan wang.
  • Jangan balas e-mel "phishing" mesej yang kelihatan seperti dihantar oleh laman web lelongan atau perkhidmatan bayaran dan meminta kata laluan anda atau maklumat peribadi lain.
  • Kenali siapa yang berurusan dengan anda. Elakkan menjalankan perniagaan dengan penjual yang anda tidak dapat kenal pasti, terutamanya sesiapa yang cuba mengumpan anda keluar dari tapak lelongan dengan menjanjikan urus janji yang lebih menguntungkan. Sahkan nombor telefon penjual jika anda mempunyai soalan atau masalah.
  • Tahu dengan tepat apa yang anda sedang bida. Baca dan cetak satu salinan butiran produk daripada penjual dengan teliti, terutamanya huruf bercetak halus. Simpan salinan semua e-mel yang anda hantar dan terima daripada tapak lelongan atau penjual sebagai bahan bukti jika terjadi masalah.

Read more...

Tip Berhati-hati Dengan Spyware

Spyware adalah suatu program atau skrip yang menjalankan perlakuan tertentu seperti pengiklanan, mengumpulkan maklumat peribadi atau menukar tetapan komputer, biasanya tanpa kebenaran anda. Spyware biasanya tidak mudah dilihat dan menjalankan aktivitinya secara senyap.

Berikut adalah beberapa tanda untuk mengetahui apabila spyware dipasang ke dalam sistem anda:

  • Anda lihat iklan atau skrin pop-up walaupun semasa anda tidak disambungkan ke internet.
  • Laman web pertama yang dibuka penyemak imbas (browser) anda berlainan daripada halaman utama biasa anda.
  • Anda terlihat bar alatan baru di penyemak imbas (browser) anda yang anda tidak pasangkan.
  • Komputer anda lebih lambat dari biasa.
  • Komputer anda terpadam atau terhenti tanpa sebab.
  • Terdapat sebarang aktiviti ganjil pada komputer anda.

Berikut adalah beberapa tip keselamatan mengenai cara melindungi sistem komputer anda daripada spyware:

  • Kemas kinikan sistem operasi anda dengan memuat turun semua kemas kini kritikal dan kemas kini keselamatan.
  • Gunakan program anti-spyware dan jalankan pengimbasan yang kerap.
  • Laraskan tetapan keselamatan penyemak imbas (browser) anda kepada "sederhana" atau lebih tinggi.
  • Pasang dan gunakan firewall.

Read more...

600 GSTT Kedah tidak disambung kontrak

>> Saturday, October 16, 2010

600 GSTT Kedah tidak disambung kontrak

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menggesa Kementerian Pelajaran menyambung semula kontrak 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di negeri ini.

Pengerusinya, Zuraidi Rahim berkata, mereka yang akan tamat kontrak pada 16 dan 30 Oktober ini tidak dapat menyambung perkhidmatan seperti rakan sejawatan di negeri lain.

Sehubungan itu, beliau berharap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi perhatian serius terhadap masalah kumpulan itu.

“Kami berharap mereka dapat mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) walaupun sudah ditamatkan dua tahun lalu,” katanya kepada media selepas menerima borang daripada guru terbabit di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatan, guru GSTT menunjukkan prestasi amat baik dan diperakui pengetua sekolah tempat mereka mengajar.

“Ini menunjukkan guru sandaran mempunyai kualiti baik dan kementerian perlu mengambil langkah menyerap mereka menjadi guru tetap bagi membolehkan mereka terus menyumbang bakti mereka kepada masyarakat,” katanya.

Seorang daripada guru GSTT, Amir Hamzah Harun, 33, berkata beliau amat terkilan apabila mendapat tahu kontraknya ditamatkan dan tidak boleh disambung seperti yang dibuatnya sebelum ini.

“Saya berharap rayuan kami sebagai guru sandaran melalui GPMS mendapat perhatian dan masalah ini diselesaikan segera,” katanya.

Ruhaiza Kadir, 29, pula telah berkhidmat sebagai guru sandaran lebih tujuh tahun tetapi tidak pernah mendapat status guru tetap walaupun memohon melalui Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI).

“Saya berharap akan mendapat pembelaan sewajarnya demi memastikan perkhidmatan kami dalam bidang pendidikan tidak terhenti begitu sahaja,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, 16 Oktober 2010.

Read more...

>> Wednesday, October 13, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 13/10/2010

Serap GSTT ke jawatan tetap

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.



Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad."Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad.



"Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap.



"Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap. "Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.

Read more...

Keutamaan zakat pendapatan

>> Saturday, September 18, 2010

ARKIB : 17/09/2010 (Utusan Malaysia)

Keutamaan zakat pendapatan

SOALAN:


Ada pihak yang mempertikaikan, bahawa zakat pendapatan tidak wujud pada zaman nabi dan ia tidak patut dilaksanakan. Namun dalam konteks semasa, zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar kepada kutipan keseluruhan zakat harta.

Maka, bolehkah dijelaskan relevannya zakat pendapatan ini dalam konteks keperluan semasa?


JAWAPAN:


Benar, zakat pendapatan hanya wujud selepas kewafatan nabi. Namun aspek teknikal zakat sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan semasa dan selari dengan konsep pengembangan harta zakat (an-nama').


Harta pendapatan yang dimaksudkan merangkumi gaji, upah, bayaran profesional, royalti dan honorarium dan sebagainya. Kesemua ini termasuk ke dalam kategori harta mustafad, iaitu harta yang diperolehi melalui hasil pekerjaan.


Sebahagian ulama turut menyatakan harta yang bukan diperolehi melalui jalan pekerjaan seperti hadiah, hibah, pusaka, graduiti persaraan, wasiat, pencen, bayaran saguhati sebagai harta mustafad.


Adapun, harta yang diperolehi melalui jalan penyewaan dan pajakan, misalnya hasil sewaan rumah, pajakan tanah dan termasuklah sewaan permit, dikategorikan sebagai harta mustaghallat dan ia dimasukkan juga sebagai harta mustafad dan ia wajib dizakatkan.


Ulama bersetuju bahawa zakat harta pendapatan perlu ditunaikan demi kemaslahatan umat Islam. Hal ini memandangkan gaji atau upah daripada pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang itu mampu menjadikannya kaya.



Dr. Yusuf al-Qaradawi menggunakan hujah daripada al-Quran untuk mewajibkan zakat harta pendapatan. Misalnya firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang kamu keluarkan daripada hasil bumi. (al-Baqarah: 267)



Walaupun ayat ini tidak dianggap dalil khusus kepada perintah mengeluarkan zakat pendapatan, para ulama bersetuju bahawa ayat ini menjadi dalil kepada pelaksanaan zakat harta pendapatan dan harta-harta lain.


Hal ini selari dengan perintah Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bekerja supaya dapat menunaikan zakat. Sabda baginda: "Setiap Muslim wajib bersedekah". Sahabat bertanya, "Jika tidak dapat?" Nabi menjawab: "Bekerjalah dengan tangannya yang berguna bagi dirinya dan ia dapat bersedekah." (Riwayat Abu Musa)


Menurut sebahagian ulama, zakat pendapatan sudah diamalkan sejak zaman para sahabat lagi. Hal ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan yang mana beliau memerintahkan tenteranya mengisytiharkan harta pada setiap akhir tahun.


Sesiapa yang mempunyai lebihan harta hendaklah mengeluarkan zakat ke atas harta itu. Lebihan harta bermaksud harta yang sudah ditolak dengan keperluan wajib diri yang meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.


Walaupun demikian, ada juga ulama berpandangan zakat pendapatan wajib dikeluarkan tanpa menolak perbelanjaan asas. Hal ini dikiaskan kepada zakat hasil pertanian yang mana zakat dikeluarkan tanpa dibuat sebarang tolakan.


Oleh hal yang demikian, pusat-pusat zakat di negara ini memberi kebebasan kepada pengeluar zakat sama ada mahu membuat tolakan atau tidak ke atas jumlah pendapatan yang hendak dizakatkan.


Sesuai dengan keanjalan hukum fikah, penerimaan hukum zakat pendapatan ini sebenarnya memberikan natijah yang sangat besar kepada umat Islam.


Ia juga sesuai dengan konsep pengembangan harta (an-nama') sebagaimana yang digagaskan oleh Saidina Umar bin al-Khattab r.a. ribuan tahun silam.


Hal ini mencerminkan sifat Islam sebagai agama yang meraikan keperluan dan perubahan zaman. Oleh itu, wajarlah umat Islam menghayati dan menerima zakat pendapatan ini sebagai kewajipan baharu yang tidak patut dikesampingkan, demi meraih keberkatan dalam pendapatan dan keberkatan dalam segenap aspek kehidupan. Wallahu a'lam.

Read more...
Powered By Blogger

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP